Perang Siffin Sayyidina Ali vs Sayyidina Muawiyah: Apa sebenarnya yang berlaku?
Iqbal Harraz
Setelah Khalifah Uthman syahid dibunuh oleh golongan pemberontak yang mengepung rumahnya selama 40 hari di Madinah akibat tuduhan Khalifah Uthman mengutamakan dan mengkayakan ahli keluarga Bani Umayyah, maka golongan ini telah memaksa Sayyidina Ali bin Abu Thalib menjadi Khalifah. Ali terpaksa menerima jawatan ini demi mewujudkan kestabilan negara Islam yang mula kucar-kacir akibat pembunuhan Sayyidina Uthman. Antara dasar yang dilakukan oleh Ali adalah memecat gabenor-gabenor Uthman kerana Ali berijtihad kerana sikap dan tabiat gabenor inilah yang menyebabkan masyarakat muak dengan Uthman sehingga menyebabkan kejatuhannya dan menggantikan mereka dengan orang yang dirasakannya lebih wara’ dan amanah. Muawiyah turut dipecat oleh Khalifah Ali. Ali mendesak masyarakat Syam menerima gabenor baru mereka Sahl bin Hunaif dan membaiat dirinya sebagai Khalifah. Ali telah menghantar Jarir bin Abdullah al-Bajali untuk mendesak Muawiyah dan orang Syam membai’atnya. Muawiyah menolak untuk membai’at Ali dengan alasan Ali harus menegakkan hukum qisas kepada pembunuh Uthman terlebih dahulu. Muawiyah sebgai pemimpin Bani Umayyah menganggap dirinya berhak untuk menuntut darah Uthman. Muawiyah berjaya membangkitkan emosi penduduk Syam apabila beliau berjaya mendapatkan baju Uthman yang berlumuran darah dan jari-jari Nai’lah yang terpotong pada saat membela suaminya melalui Numan bin Basyir. Muawiyah telah membawa baju itu di atas mimbar agar masyarakat Syam menyaksikannya. Maka orang Syam telah mengangis melihat perkara itu dan bersumpah untuk tidak menyentuh isteri mereka di atas ranjang selagimana pembunuh Uthman tidak dihukum. Mereka bersatu dibelakang Muawiyah untuk mendesak Ali serta menuduh Ali melindungi pembunuh Uthman. Di pihak Khalifah Ali pula pembunuh Uthman terlalu ramai dan bersembunyi di bloknya maka Ali mendesak Muawiyah membai’atnya terlebih dahulu baru perkara ini mudah dilaksanakan. Melihat usaha untuk mengajak Muawiyah bersama pengikutnya di Syam untuk membai’atnya gagal maka Khalifah Ali bersama pasukan yang berada di pusat pemerintahan Kufah bergerak menuju ke Syam untuk menghadapi Muawiyah pada tahun 657M. Apabila Muawiyah mendengar keberangkatan pasukan Ali maka Muawiyah juga menggerakkan pasukannya bersama Amr bin Al-Ash yang telahpun berpakat dengan Muawiyah dalam menuntut darah Uthman. Ali bergerak melalui jalan al-jazirah dan menyeberangi sungai eufrat melalui arah raqqah. Akhirnya kedua-dua pasukan bertemu di Siffin.
Ada sesetengah sejarawan mengkritik Ali kerana berkeras ingin memerangi Muawiyah dan menganggap sepatutnya Ali membiarkan sahaja Muawiyah. Pertama sekali, sebagai pemimpin yang sah dibai’at oleh masyarakat Islam, Ali berhak untuk memerangi sesiapa yang dilihatnya membawa kepada perpecahan. Yang kedua sesiapa yang meneliti riwayat sejarah akan mengetahui bahawa tujuan Ali menuju ke Syam adalah sekali lagi berunding dan memujuk Muawiyah agar membai’atnya demi kesatuan umat Islam. Diriwayatkan ketika Khalifah Ali dan pasukannya keluar daripada Rubadzah Abu Rufaah ibn Rafi’ ibn Malik Al-Ansari bertanya kepadanya ‘’Wahai Amirul Mukminin, apa yang hendak engkau lakukan, engkau hendak kemana? Ali menjawab ‘’Kami mengkhendaki pendamaian jika mereka mahu menerima dan menjawab ajakan kami.’’ Jawab Abu Rufaah ‘’Jika mereka tidak menjawab keinginanmu?’’ Ali menjawab ‘’Kami akan meninggalkan dan memaafkan mereka, memberikan hak-hak mereka dan bersabar.’’ Abu Rufaah bertanya ‘’Jika mereka tidak mahu?’’ Ali menjawab ‘’Kami akan membiarkan mereka dan mereka membiarkan kami.’’ Abu Rufaah bertanya ‘’Jika mereka tidak akan membiarkanmu?’’ Ali menjawab ‘’Kami akan mempertahankan diri daripada serangan mereka.’’ (Tarikh ath-Thabari 5/510).
Apabila kedua pasukan bertembung dan berkhemah di dataran Siffin. Terdapat riwayat menunjukkan bahawa pasukan Muawiyah telahpun menguasai sumber air di kawasan itu dan menyekat pasukan Ali daripada mendapatkannya dengan alasan bagi membalas perbuatan pembunuh Uthman yang menghalang Uthman daripada mendapatkan air. Maka Ali mengirim pasukan dipimpin oleh Al-Ays’ats untuk mendapatkan bekalan air di sungai. Pertempuran ini dimenangi oleh Al-Ay’ats. Pasukan Ali berniat untuk membalas perbuatan tentera Syam dengan menyekat bekalan air kepada mereka namun hasrat ini ditolak oleh Ali yang tetap membenarkan tentera Syam mengambil air. Namun ada riwayat lain kelihatan menafikan pertempuran diantara kedua belah pihak. Diriwayatkan Al-Ay’ats berkata kepada Muawiya ‘’Takutlah kepada Allah terhadap umat Muhammad. Anggap sahaja kalian memerangi orang Iraq lalu bagaimana dengan oara utusan dan keluarga?’’. Sesungguhnya Allah SWT berfirman ‘’ Dan apabila ada dua golongan orang-orang mukmin berperang, maka damaikanlah antara keduanya’’ (Al-Hujurat ayat 9) maka Muawiyah berkata ‘’ lalu apa yang engkau inginkan?’’ Al-Asy’ats menjawab ‘’Biarkan kami mendapatkan air.’’ Maka Muawiyah berkata kepada Abu al-A’war ‘’Biarkan saudara-saudara kita mendapatkan air.’’ (Siar a’lam Nubala 2/41). Ali menghantar tiga utusan iaitu Basyir bin Amr al-Anshari, Said bin Qais Al-Hamdaniy dan Syibts bin Rib’iy at-Tamimiy untuk berunding dengan Muawiyah.
Kebanyakkan hasil perbincangan diantara kedua pasukan ini bersumber daripada perawi Syiah yang bernama Abu Mikhnaf. Oleh sebab itu terdapat sejarawan sunni menolak isi-isi teks dialog ini kerana kelihatan para sahabat Nabi SAW saling merendahkan diantara satu sama lain. Namun menurut Dr Yusuf al-Isy teks ini tidak boleh ditolak 100 peratus kerana terdapat isinya yang memperlihatkan hujjah Khalifah Ali dan Muawiyah di dalam pertembungan mereka. Antara teks rundingan yang dapat kita lihat adalah diriwayatkan Said bin Qais yang menjadi salah satu utusan Ali kepada Muawiyah berkata ‘’ Kami datang hanya untuk memberitahukan kepadamu perihal apa yang kami bawa ini dan kami ditugaskan untuk mendengarkan perkataan darimu, kami sampai saat ini masih untuk menasihatimu dan akan kami sampaikan hujjah kami kepadamu supaya engkau kembali kepada persatuan dan jamaah. Sesungguhnya sahabat kami (Ali) adalah orang kemuliannya telah engkau ketahui bersama kaum muslimin dan saya tidak berperangsaka engkau tidak tahu bahawa engkau sudah ketahui bahawa orang ahli agama tdak akan memisahkan diantara engkau dengan Ali, maka Takutlah kepada Allah wahai Muawiyah! Dan janganlah engkau menyelesihi Ali.’’ Lalu Muawiyah memuji Allah dan berkata ‘’Engkau sekalian telah mengajak kami kepada ketaatan dan jamaah, bagaimana taat yang engkau maksudkan? Sedangkan taat kepada sahabat kalian tidak mungkin kerana sahabat kalian itu membunuh khalifah kami, dan mencerai-berai jamaah kami serta melindungi para pembunuh khalifah kami. Saudara kalian (Ali) tidak mengakui telah membunuhnya dan kami tidak boleh menerima perkara ini. Apakah engkau tidak tahu orang-orang yang membunuh sahabat kami (Uthman)? Bukankah mereka termasuk sahabat-sahabat daripada kalian?.’’ Maka serahkanlah mereka yang telah bersekutu membunuh Uthman untuk kami bunuh setelah itu kami akan taat kepada kalian.’’ Mendengar hal itu Syabts bin Rabi’ berkata ‘’ Apakah engkau wahai Muawiyah mampu membunuh Ammar?.’’ Muawiyah menjawab ‘’kenapa tidak? Demi Allah jika saya dapat membunuh Ammar maka belum cukup menebus darah Uthman tapi cukup menebus darah Nail yang menjadi budak Uthman sahaja.’’ (Tarikh ath-Thabari, 4/2).
Jika kita meneliti teks ini sekurang-kurangnya kita mengetahui hujjah pihak Khalifah Ali bahawa dia adalah Khalifah yang sah wajib ditaati oleh Muawiyah. Kemuliaan Ali juga sudah cukup membuktikan dirinya memang paling berhak. Manakala di pihak Muawiyah, Ali tidak berhak dibai’at meskipun dia menyatakan dirinya tidak terlibat dengan pembunuhan Uthman akan tetapi dia kelihatan melindungi pembunuh Uthman. Maka mereka mendesak agar Ali menyerahkan pembunuh baru isu ini dapat diselesaikan.
Di dalam teks lain yang masih bersumber Abu Mikhnaf. Khalifah Ali kita diminta mengundur diri dia berkata ‘’ Orang-orang telah meengangkat Abu Bakar dan Umar sebagai Khalifah. Mereka berdua telah berbuat baik dan adil mengurusi umat. Mereka berdua menjadi pemimpin kami yang termasuk sebagai keluarga Rasulullah SAW, kami pun tidak keberatan dengan mereka kemudian diangkatlah Uthman sehingga melakukan perkara-perkara yang dicemuh orang sehingga mereka kemudian menemuinya dan membunuhnya. Kemudian mereka menemuiku untuk diba’at sedangkan saya sudah melepaskan diri daripada urusan mereka. Mereka berkata ‘’naiklah menjadi pemimpin!.’’ Saya menolak mereka sehingga mereka merayu kepadaku berulang kali dan mengatakan ‘’ Naiklah, kerana masyarakat tidak rela kecuali dengan kepemimpianmu dan kami takut jika engkau tidak mengambilnya masyarakat akan bercerai berai.’’ Saya akhirnya menerima tawaran itu dan saya memimpin hanya bersandar satu kaki sahaja. Perselisihan dengan Muawiyah tidak pernah ada dalam agama baik secara individu mahupun golongan. Allah dan Rasulnya bersama-sama kaum muslimin masih memusuhi Muawiyah dan ayahnya sehingga mereka memeluk Islam kerana terpaksa dan tidak alasan bagi kamu untuk taat kepadanya dan meninggalkan keluarga Nabi kamu yang tidak mennginginkan perselisihan dan persengketaan. Ketahuilah kami mengajak kamu kepadamu kepada Kitab Allah SWT dan Sunnah RasulNya serta membunuh kebatilan dan menghidupkan syiar-syiar agama. Hanya inilah yang dapat saya katakana dan saya meminta ampun kepada Allah untukku dan kalian semua dan bagi setiap mukmin dan muslim baik lelaki nahupun perempuan.’’ Lalu utusan Muawiyah bertanya ‘’Apakah engkau bersaksi Uthman dibunuh kerana dizalimi?.’’ Ali menjawab ‘’Tidak ia tidak dibunuh secara zalim dan tidak pula berbuat zalim.’’
Jika kita meneliti teks ini Ali kelihatan terlalu keras dengan Muawiyah bahkan meragui keislaman dirinya dan bapanya. Oleh sebab itu terdapat sejarawan Sunni menganggap ucapan seperti ini hanyalah tambahan Abu Mikhnaf. Riwayat juga menunjukkan Ali menguatkan kedudukannya sebagai khalifah yang wajar ditaati demi perpaduan umat Islam. Adapun berkenaan sikap Ali terhadap Uthman jika kita lihat riwayat daripada Saif yang lebih moderat jelas bertentangan, Ali memang berharap dapat membunuh pembunuh Uthman.
Melihat usaha rundingan tidak berhasil maka peperangan tidak dapat dielakkan. Pasukan Ali terdiri daripada 50 ribu sehingga seratus ribu bertempur dengan pasukan Muawiyah yang berjumlah 70 ribu pasukan. Pada mulanya kelihatan pasukan Muawiyah menguasai pertempuran namun berkat kegigihan panglima Ali, Asy’tar maka keadaan mula berubah sehingga pasukan Muawiyah hampir tewas. Melihat keadaan itu Amr bercadang kepada Muawiyah untuk mengangkat mushaf di atas tombak-tombak untuk meminta agar perang dihentikan. Ali pada mulanya menyuruh tenteranya terus maju kerana merasakan ia adalah tipu muslihat namun para ahli Qurra dan ibadah tidak sanggup berperang sehingga meminta Ali menyahut seruan Muawiyah untuk mencari penyelsaian dengan kitabullah. Ada juga riwayat lain menunjukkan perhentian perang ini adalah keinginan kedua-dua belah pihak setelah melihat peperangan telah merugikan mereka. Riwayat ini bersumberkan daripada perawi Hadis Syiah yang bernama Nashr bin Munzahim. Al-Asy’ats berkata dengan rakan-rakannya di waktu malam ‘’Wahai kaum muslimin , kalian telah melihat apa yang terjadi pada diri kalian di hari kalian yang berlalu dan bagaimana orang arab telah menjadi korban. Demi Allah aku telahpun mencapai umur yang Allah khendaki , aku belum pernah melihat hal seperti ini. Hendaknya orang yang hadir menyampaikan kepada orang yang tidak hadir. Bila kita berperang esok hari maka ia adalah kepunahan bagi orang-orang Arab dan tersia-siakan kehormatan. Demi Allah aku mengucapkan kalimatku bukan kerana aku takut berperang, akan tetapi yang aku khawatir adalah lelaki tua, aku mengkhawatirkan para isteri dan anak-anak esok hari apabila kita masih bergini. Ya Allah sesungguhnya engkau telah mengetahui bahawa aku melihat kepada kaumku dan orang-orang yang seagama denganku dan aku tidak lemah dan takut.’’ ( Waq’ah Shiffin Nashr bin Munzahim hlm 479) apabila pidato al-Asy’ats sampai kepada Muawiyah dia berkata ‘’Dia telah berkata benar Demi Tuhan Kaabah, sekiranya kita masih berperang esok hari, nescaya orang-orang Rom akan menyerang kaum wanita dan anak-anak kita sedangkan orang Parsi akan menyerang kaum wanita dan anak-anak Iraq. Perkara ini hanya disedari oleh orang berpemikiran matang dan beraqal.’’ Kemudian Muawiyah berkata kepada rakannya ‘’ikat Mushaf di hujung tombak.’’ (ibid hlm 481-484). Bergitu juga terdapat sejarawan Sunni menganggap riwayat Sayyidina Ali tidak bersetuju dengan pendamaian ini kerana ia bersumberkan daripada Abu Mikhnaf seorang perawi Syiah.
Riwayat Imam Ahmad menunjukkan situasi yang berbeza. Riwayat Imam Ahmad daripada jalan Habib bin Abu Tsabit yang berkata saya datang kepada Abu Wa’il salah seorang pendokong setia Ali bin Abu Thalib , dia berkata ‘’ Kami di Siffin manakala orang-orang Syam banyak yang gugur, Amr berkata kepada Muawiyah ‘’kirimkan Mushaf kepada Ali, ajaklah dia kepada kitab Allah, sesungguhnya dia tidak akan menolak. Lalu seorang lelaki dikirim kepada Ali dan berkata ‘’Antara Kami dan kalian adalah kitab Allah,
‘’Tidakkah kamu memperhatikan orang-orang yang telah diberi bahagian yaitu Al Kitab (Taurat), mereka diseru kepada kitab Allah supaya kitab itu menetapkan hukum diantara mereka; kemudian sebahagian dari mereka berpaling, dan mereka selalu membelakangi (kebenaran)’’ (Ali Imran:23)
Ali menjawab ‘’Baik aku adalah orang yang paling patut untuk itu. Lalu para Qari’ yang akhirnya mereka menjadi khawarij mengangkat pedang-pedang mereka dan berkata ‘’Wahai Amirul Mukminin biarkan kami mendatangi mereka sehingga Allah memutuskan diantara kami dengan mereka.’’ Maka Suhail bin Hunaif berkata ‘’Wahai manusia tuduhlah diri kalian, dahulu kami bersama Rasulullah SAW di hari Hudaybiyah seandainya kami melihat peperangan nescaya kami berperang.’’ Kemudian Suhail menceritakan kepada mereka penentangan Umar al-Khattab terhadap perjanjian damai di Hudaybiyah dan turunnya surah Al-Fath kepada Rasulullah SAW. Maka Ali berkata ‘’wahai manusia sesungguhnya ia adalah kemengangan.’’ (Musnad Ahmad 8/483)
Maka kedua-dua kelompok ini menghentikan perang dan menghantar wakil masing untuk berunding melalui majlis Tahkim. Pihak Muawiyah menghantar Amr bin Al-Ash manakala pihak Ali menghantar Abu Musa Al-Asyaari. Kisah rundingan ini berlaku sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibn Asakir Tarikh Damsyiq [46/175], ‘’ “Setelah Muawiyah r.a (yakni setelah Muawiyah r.a menjadi Khalifah) memecat Amru bin al-As r.a daripada jawatan gabenor Mesir, Amru bin al-As r.a telah membina fustat (khemah tempat tinggal) beliau berdekatan dengan fustat Muawiyah r.a dan selalu duduk di khemahnya itu, lalu Muawiyah r.a telah mengutusku kepadanya dan berkata: ‘Pergilah kamu kepadanya dan beritahu kepadanya telah sampai kepadaku sesuatu yang aku tidak suka berkenaannya, tanya kepadanya berkenaan peristiwa ketika dia berkumpul dengan Abu Musa al-Asy’ari (Tahkim) bagaimana mereka lakukan?’. Maka aku pergi kepadanya dan berkata: ‘Ceritakanlah kepadaku bagaimana sebenarnya yang berlaku pada hari kamu berjumpa dengan Abu Musa al-Asy’ari?’. Kata beliau: ‘Manusia telah bercerita dengan pelbagai cerita tetapi apa yang mereka ceritakan itu bukanlah yang sebenarnya demi Allah, tetapi apabila aku telah bertemu dengan Abu Musa aku berkata kepada beliau: Apakah pendapat kamu berkenaan perkara ini? Kata Abu Musa: Aku lihat perkara ini (pertlingkahan) berlaku antara kaum yang telah diredai Rasulullah s.a.w ketika baginda wafat. Kataku: Bagaimana pendapat kamu mengenai aku dan Muawiyah? Kata Abu Musa: Jika dia (Ali r.a) meminta bantuan kamu berdua maka kamu berdua perlu menolongnya namun jika dia tidak meminta bantuan kamu maka demikianlah urusan Allah pada kamu berdua”. Berdasarkan riwayat ini menunjukkan kedua-dua wakil tidak mencapai keputusan muktamad. Amr dan Abu Musa menyerahkan urusan pemerintahan kepada umat Islam. Ali terus berkuasa di Iraq manakala Muawiyah terus berkuasa di Syam.
Setelah peristiwa Tahkim, pihak Ali menghadapi satu lagi ancaman baru daripada kelompok Khawarij yang tidak bersetuju Ali bertahkim dengan Muawiyah. Mereka menganggap Ali dan Muawiyah telah keluar daripada agama. Maka Ali terpaksa bertempur dengan kelompok ini di Nahrawan. Di saat kem Ali berpecah, Kem Muawiyah semakin kukuh dan stabil. Muawiyah mula merencana untuk melemahkan kedudukan Ali bin Abi Thalib. Muawiyah mula menawarkan harta dan pangkat kepada sekutu-sekutu Ali agar menyertai bloknya. Contohnya Muawiyah berusaha mendapatkan wilayah Mesir dengan memujuk gabenornya Qais bin Saad namun usahanya tidak berhasil. Namun Muawiyah berjaya menimbulkan syak wasangka Ali kepada Qais sehingga Ali memecatnya dan digantikan dengan Muhammad bin Abu Bakar. Muhammad adalah orang yang kurang bijak dalam menyelsaikan masalah di Mesir maka Muawiyah menghantar pasukan dipimpin oleh Amr bin Al-Ash menyerang Mesir. Muhammad bin Abu Bakar telah meminta bantuan Asytar, namun Muawiyah telah menghantar orang untuk menyesatkan jalannya sehingga dia tidak sampai ke Mesir. Muawiyah berjaya menawan Mesir dan Muhammad bin Abu Bakar terbunuh.
Dengan penguasaan Mesir Muawiyah mempunyai sumber ekonomi yang banyak, Muawiyah telah menghantar ke Madinah, Makkah dan Yaman untuk memujuk pemimpin mereka namun delegasi ini telah berjaya disekat. Muawiyah juga telah cuba menyebarkan pengaruh ke Parsi dengan memujuk Ziyad bin Abihi namun gagal juga. Namun saban hari Muawiyah berjaya menarik pemimpin-pemimpin yang mendokong Ali untuk bersama dengannya melalui mulut manis Muawiyah. Ali berasa sedih dengan perkara itu berkhutbah ‘’Ketahuilah bahawa Paksaan (kekalahan ) telah dating daripada Muawiyah dan aku tidak melihat orang-orang itu kecuali mereka unggul di atas kalian dengan persatuan mereka di atas kebatilan dan perpecahan kalian di atas haq (kebenaran) kalian. Dengan ketaatan mereka kepada pemimpin mereka dan kedurhakaan kalian pada pemimpin kalian dengan penuanaian mereka terhadap amanat dan pengkhianatan kalian. Aku mengangkat fulan, namun dia melakukan ghulul dan khianat dan memberikan harta kepada Muawiyah. Sampai-sampai bila aku mempercayai salah seorang daripada mereka sebagai nampan nescaya aku khawatir mereka menggelapkan tali pengikatnya. Ya Allah, sesungguhnya aku membenci mereka dan mereka membenciku, maka istirehatlah aku daripada mereka dan istirehatlah mereka daripadaku.’’
Muawiyah juga mula berani menghantar pasukan tentera dipimpin oleh Busr bin Arta’ah untuk menawan Hijjaz dan Yaman. Pada tahun 660 M, Ali berasa harus segera menyerang balas Muawiyah namun Ali telah Syahid dibunuh lelaki Khawarij Abdullah bin Muljam. Sesungguhnya kelompok Khawarij berkomplot untuk membunuh Muawiyah, Ali dan Amr yang dikatakan punca perpecahan Islam. Muawiyah dan Amr terselamat. Kedudukan Ali digantikan oleh anaknya Al-Hassan.
Muawiyah inginkan kuasa?
Pandangan yang bersetuju:
Apabila membahaskan mengenai konflik perang Siffin pasti akan timbul persoalan adakah pertembungan diantara Khalifah Ali dan Muawiyah adalah pertembungan dalam isu Pembunuhan Khalifah Uthman atau isu perebutan kuasa? Berdasarkan beberapa riwayat yang ada golongan melihat pertembungan ini adalah pertembungan seorang pemberontak bughah yang ingin mengekalkan status elit dalan kalangan Bani Umayyah pada zaman Khalifah Uthman dengan pemimpin yang adil berusaha menegakkan keadilan melawan golongan elit ini. Mereka meyakini bahwa Muawiyah bin Abu Sufyan memang mengambil peluang ini untuk menjadi seorang khalifah dan membina dinasti Arab yang dicita-citakan manakala Pembunuhan Uthman adalah satu bentuk propaganda yang ampuh dilakukan oleh Muawiyah di dalam menjustifikasikan perbuatannya. Untuk membuktikan perkara ini mereka menukil riwayat-riwayat yang terdapat di dalam kitab hadith dan kitab tarikh yang shahih kerana puak-puak yang ingin menafikan pandangan ini sering menggunakan alasan kita perlu berbalik kepada Ahl Hadith dalam isu Pertelingkahan politik sahabat.
Riwayat pertama:
Hadith Riwayat Imam Al-Bukhari iaitu daripada Ikramah bin Khalid daripada Ibn Umar katanya " aku pernah masuk menemui Hafsah, sementara rambut di sebelah atasnya masih menitiskan air. Aku berkata: "Sungguh keadaan manusia seperti kamu lihat dan aku tidak mendapatkan bahagian sedikitpun daripada urusan tersebut." Maka Hafsah berkata "susulilah, Sesungguhnya mereka sedang menunggumu, aku khuatir sikapmu yang tidak bergabung akan menimbulkan perpecahan." Hafsah tidak membiarkannya sehinggalah dia pergi. Taktala orang ramai sudah berpecah , Muawiyah berkhutbah seraya berkata "Barangsiapa yang ingin berbicara tentang urusan (pemerintahan) ini tunjukkanlah muka kepada kami kerana sunggub kami lebih layak daripada dirinya dan ayahnya." maka Habib Maslamah berkata (kepada Ibn Umar)" Apakah Kamu tidak menjawabnya ? " kata Abdullah (Ibn Umar) " Aku melepaskan jubahku dan ingin aku katakan "Orang yang lebih layak dalam urusan ini adalah mereka yang memerangimu dan ayahmu atas nama Islam." namun aku khuatir untuk mengucapkan perkataan yang akan memecah belahkan kesatuan, dapat mrnumpahkan darah serta difahami dariku selain itu. lantas aku teringat apa yang dijanjikan oleh Allah di Syurga." Kata Habib bin Maslamah "kamu telah dijaga dan dipelihara".( Al-Bukhari 4/1508)
Dalam Riwayat al-Thabarani "Daripada Ibn Umar katanya ketika tiba hari bertemu kelompok Ali dan Muawiyah di Dawmah al-Jandal (perjanjian Tahkim), Hafsah berkata kepadaku "Sesungguhnya tidak baik bagimu untuk tidak menyertai perjanjian yang mudah-mudahan Allah SWT memperbaiki perpecahan yang berlaku dalam kalangan umat muhammad SAW. Padahal engkau adalah menantu Rasulullah SAW dan anak lelaki Umar al-Khattab." lalu aku pergi bertemu Muawiyah pada hari tersebut dan beliau duduk di atas unta yang besar seraya berkata "Barangsiapa yang mempunyai keinginan dalam urusan (pemerintahan) ini, atau bercita -cita mendapatkannya atau berani menyerahkan lehernya (untuk dipenggal)?" Kata Ibn Umar " Hatiku yang tidak pernah teringin terhadap dunia sebelum hari itu. ingin saja aku katakan "yang mempunyai keinginan dalam urusan (pemerintahan ) ini ialah orang yang memerangimu dan ayahmu atas nama Islam sehingga kalian dapat memeluk islam. lantas aku teringat syurga dan nikmat-nikmatnya lalu aku pun berpaling." (Majma' Zawaid 4/208 , Al-Haythami berkata riwayat ini ada dalam al-kabir imam Thabarani dan perawinya Tsiqah)
Dua riwayat di atas menurut sesetengah golongan sudah cukup membuktikan bahawa Sayyidna Muawiyah mempunyai keinginan untuk menjadi Khalifah bahkan selepas peristiwa Tahkim Muawiyah lebih takut akan kehilangan peluang menjadi khalifah berbanding kemungkinan pembunuh Uthman yang berpeluang melarikan diri. Bahkan , apabila menjadi Khalifah Muawiyah dilihat tidak berusaha untuk mencari pembunuh Uthman pada saat dia sudah berkuasa.
Riwayat kedua: Muawiyah menjanjikan kuasa kepada keluarga abu musa al-Asyaari jika Abu musa membaiatnya
Daripada Abu Burdah daripada abu Musa " bahawa pada Suatu ketika Muawiyah mengutuskan surat kepadanya yang berbunyi "Baiklah , Sesungguhnya Amr bin al-Ash telah berbaiah kepada ku mengikut apa yang kumahukan. Aku bersumpah dengan nama Allah jika engkau berbaiah kepadaku seperti Amr berbaiah kepadaku , akanku lantik salah seorang anak lelakimu menjadi pemerintah di Kufah dan seorang lagi di Basrah dan semua pintu tidak akan tertutup kepadamu dan tidak ada hajatmu yang tidak akan ditunaikan Sesungguhnya aku telah menuliskan surat ini dengan tulisan tanganku maka balaslah tulisan ini dengan tulisan tanganmu." lantas Abu Musa membalas surat itu dan katanya "Baiklah . sesungguhnya engkau telah menulis telah menuliskan kepadaku tentang urusan yang sangat besar bagi umat ini. maka apa yang harus aku katakan dihadapan tuhanku jika aku bentangkan amalanku padaNya. semua yang engkau cadangkan ini tidak diperlukan olehku. wassalam." (Siyar A'lam al-Nubala 2/396 menurut Syaikh Syuaib Arnauth sanadnya shahih)
Mereka berhujjah Riwayat di atas membuktikan sifat takwa Imam Abu musa yang tidak tertipu dengan pangkat dan dunia manakala muawiyah sanggup menggunakan politik wang dan menjanjikan pangkat untuk mencapai matlamatnya. Riwayat ini jelas menunjukkan bahawa muawiyah berkeinginan untuk merampas khalifah daripada Imam ali kerana mengapa muawiyah menjanjikan basrah dan kufah? sedangkan wilayah itu adalah wilayah dan pusat utama ali?
Riwayat ketiga
Daripada maymun bin mihran katanya "Amr bin Al-Ash telah merancang sesuatu dibelakang Muawiyah iaitu dia ingin mengetahui apa yang tersimpan di dalam hati ibn umar , apakah beliau ingin berperang atau tidak. lantas dia berkata " Wahai abu Abdul Rahman menghalangmu keluar lalu kami berbaiah kepadamu padahal engkau sahabat rasulullah SAW dan anak amir mukminin dan engkau paling layak akan urusan ini?. kata ibn Umar "adakah semua orang bersepakat akan hal itu? kata Amr "ya kecuali sekumpulan kecil" kata ibn umar " kalau tidak tinggal melainkan tiga orang lelaki kuat dan besar di hajar maka aku tidak berhajar akan urusan itu." maka Amr mengetahui bahawa Ibn umar tiada keinginan untuk berperang. kata Amr "Mahukah kamu untuk berbaiat kepada seorang yang hampir semua telah bersepakat untuk melantiknya lalu dia memberi kepadamu berekar-ekar tanah dan harta yang cukup untuk keperluanmu, anak-anakmu dan mereka yang datang setelah itu? balas ibn umar " Celaka engkau! keluar dari sini dan jangan bertemu denganku, kegilaan apakah ini! Sesungguh agamaku tidak serendah nilai dinar dan dirham kalian dan aku sentiasa berharap untuk keluar dari dunia ini dalam keadaan tanganku putih bersih." (Siyar a'lam Nubala 3/228 menurut Syaikh Syuaib Arnauth sanadnya shahih)
Mereka mengatakan berdasarkan riwayat diberi jelas Bahawa Muawiyah memilki keinginan untuk menjatuhkan Ali bahkan beliau berusaha mencari sekutu-sekutu untuk bergabung dengannya menggunakan politik wang.
Pandangan yang menolak
Majoriti Ulama Ahl Sunnah Wal Jamaah menganggap bahawa Muawiyah tiada niat untuk menjatuhkan Khalifah Ali bin Abu Thalib melainkan ijtihadnya untuk menegakkan hukuman Qisas. Jika kita meneliti kitab-kitab tarikh kita akan mendapati Muawiyah zahirnya menuntuk pembelaan di atas kesyahidan Sayyidina Uthman lebih-lebih lagi Muawiyah adalah wali Uthman dan pemimpin kabilah Uthman iaitu Bani Umayyah. Allah SWT berfirman ‘’ Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya), melainkan dengan suatu (alasan) yang benar. Dan barangsiapa dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan kepada ahli warisnya, tetapi janganlah ahli waris itu melampaui batas dalam membunuh. Sesungguhnya ia adalah orang yang mendapat pertolongan (Surah al-Isra ayat 33). Muawiyah pernah berkata Maksudnya: “Aku tidak memerangi Ali kecuali kerana urusan Usman” [Musannaf Ibn Abi Syaibah, hadis no. 31193,]. Abu Muslim al-Khaulani r.h datang kepada Saidina Muawiyah r.a bersama dengan beberapa orang lagi bertanya kepada beliau: “Adakah tuan mencabar Ali atau tuan ini setaraf dengannya?” Jawaba Saidina Muawiyah r.a: “Tidak, demi Allah sesungguhnya aku mengetahui bahawa Ali itu lebih utama daripada aku dan dia lebih berhak menjadi Khalifah berbanding aku, tetapi bukankah kamu mengetahui bahawa Usman dibunuh secara zalim, sedang aku adalah sepupu beliau, maka aku menunutut darah Usman (pelaksanaan Qisas), maka pergilah kamu kepada beliau (Ali r.a) dan beritahu kepadanya: beri kepadaku pembunuh-pembunuh Usman maka aku akan menyerah kepadanya (berbaiat)”. [Siyar A’lam al-Nubala’, 3/140). Imam Al-Haramain di dalam Lum’ah al-Itiqad fi Aqa’id Ahlus Sunnah al Jamaah hlm 115 berkata ‘’sekalipun Muawiyah memerangi Ali namun Muawiyah tidak mengingkhari kekhalifahan Ali dan tidak mengakui untuk dirinya, Muawiyah hanya menuntut pembunuhak Uthman kerana dia mengira dirinya benar sekalipun Muawiyah tetap keliru.’’ Imam Al-Ghazali berkiata di dalam Ihya’ Ulumuddin 1/103 ‘’ Muawiyah menganggap bahawa perkara Uthman kalau diakhirkan maka akan berlaku tindak kesalahan yang lebih besar lagi kerana akan membuat umat tidak bertanggung-jawab akan pemimpin mereka dan akan membuat mereka berani menumpahkan darah.’’
Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah pula telah membahagikan isu ini kepada dua fasa iaitu sebelum tahkim dan selepas tahkim. Ibn Taimiyyah berkata ‘’Fasa kedua ialah penduduk Syam itu sudah menjadi pemberontak pada ketika itu juga. Setelah pemerintah telah dilantik dan diberi gelar Amirul Mukminin dan celaan mereka terhadap pemerintah dan sebagainya. Maka ini benar-benar pemberontak berbeza perang sebelumnya (sebelum Tahkim) yang mana perang ketika itu adalah perang fitnah.’’ (Majmu’ Fatawa 4/443).
Comments
Post a Comment